PUTRAJAYA – Negeri Pahang mencatatkan belanjawan berdefisit terkumpul sebanyak RM228.37 juta bermula dari 2014 hingga 2017.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keadaan defisit secara berterusan itu mencerminkan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah.
Jelasnya, akibat pengurusan kewangan yang lemah, kerajaan negeri Pahang tidak mampu untuk memenuhi obligasi hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan.
“Hutang Pahang kepada Kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2018 berjumlah RM3.178 bilion dengan tunggakan sebanyak RM1.270 bilion dan ia merupakan jumlah terbesar antara semua negeri di negara ini.
“Mampukah Kerajaan Negeri Pahang jalankan pembangunan yang mampan dengan hutang paling tinggi dalam Malaysia sebanyak RM3.2 bilion pada akhir 2018 dan belanjawan berdefisit setiap tahun, dengan defisit terkumpul negatif RM228 Juta pada akhir 2017?,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. – K!ONLINE










