Padah cuba jual mercun ke Pulau Ketam - Utusan Malaysia

Padah cuba jual mercun ke Pulau Ketam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tindakan berani seorang lelaki membawa mercun untuk dijual di Pulau Ketam melalui jeti penumpang Pelabuhan Klang membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam. 

Suspek berusia 38 tahun itu diberkas pukul 4 petang ketika menunggu feri ke pulau tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, penahanan suspek dilakukan sewaktu Op Pensura ketika didapati dalam keadaan mencurigakan dengan membawa dua kotak besar.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak itu menemui pelbagai jenis mercun tanpa sebarang lesen dan dokumen dipercayai untuk dijual di Pulau Ketam.

“Nilai mercun tersebut dianggarkan RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek ingin menjual mercun itu sempena sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

Jelas Khairuddin, pihaknya percaya suspek merupakan penjual kecil-kecilan dan bukan pengedar mercun.

“Kesemua rampasan termasuk suspek kemudiannya dibawa ke Jeti PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

“Kes kini disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN