KUALA LUMPUR – Padah menunggang motosikal secara berbahaya sambil melakukan aksi ‘Superman’ akhirnya menjerat diri apabila lima lelaki tersebut ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan (Op Samseng Jalanan) di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini awal pagi tadi.
Operasi yang bermula sekitar pukul 1.30 pagi itu diketuai Asisten Superintenden Ahmad Fuad Mahmod dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kesemua yang ditahan berusia di antara 15 hingga 25 tahun yang dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dengan bersaing sesama sendiri dalam kelajuan tinggi serta didapati melakukan aksi ala ‘Superman’.
“Daripada lima yang ditahan, seorang merupakan remaja lelaki yang berumur 15 tahun dan masih bersekolah dengan menunggang motosikal tanpa lesen. Manakala empat yang lain pula sudah bekerja.
“Kesemua yang ditahan kemudiannya di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bersama motosikal milik mereka untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Difahamkan, operasi yang dilakukan sehingga pukul 4.30 pagi itu menyasarkan golongan pelesit rempit yang didapati menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.
Tambah Zulkifli, selain memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu, anggota bertugas turut mengesan beberapa lagi kesalahan yang dilakukan oleh kelima-lima pelesit rempit tersebut.
“Antara kesalahan lain yang dikesan dalam operasi tersebut adalah melakukan pengubahsuaian sistem enjin bagi menambah kelajuan, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian pada ekzos serta tayar motosikal yang kecil.
“Kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya ,” ujarnya. – K! ONLINE










