'Orang lama' masih terbaik - Utusan Malaysia

‘Orang lama’ masih terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Biarpun tidak lagi bernaung bersama skuad kebangsaan, namun dua beregu bebas, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan mereka masih pasangan terbaik negara ini apabila mara ke final badminton Thailand Masters di Bangkok, hari ini.

Kejayaan tersebut membuktikan kedua-dua beregu itu di landasan untuk mencari tiket Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, biarpun menutup kempen 2018 dengan prestasi tidak menentu.

Turun sebagai pilihan utama, Peng Soon-Liu Ying tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Hong Kong, Tan Chung Man-Ng Tsz Yau 21-16, 21-15 dalam beregu campuran.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu kini akan membuat perhitungan dengan pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taeratanattachai yang menundukkan rakan senegara, Nipitphon Phuangphuapet-Savitree Amitrapai 21-18, 21-16.

V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan pertama beregu lelaki mengetepikan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun 21-12, 21-10.

Naib juara Olimpik itu akan berdepan pilihan kelima dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han yang menumpaskan pasangan muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 17-21, 21-13, 21-11.

“Saya gembira berjaya ke final, harap dapat memulakan 2019 dengan kejuaraan. Apa yang penting mengukuhkan kedudukan untuk ke Sukan Olimpik 2020.

“Kami sentiasa fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami memberi aksi terbaik tidak mengira pemain bebas atau tidak,” kata Peng Soon kepada Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN