KUALA LUMPUR: Lebih 6,500 kandungan berkaitan penjualan dadah secara haram dalam talian telah diturunkan daripada platform media sosial sepanjang tahun ini.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar berkata, ia susulan lebih 7,000 permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan kepada platform media sosial.
Katanya, tindakan MCMC dibuat berdasarkan aduan, maklumat yang diperoleh serta hasil pemantauan terhadap kandungan tidak wajar dalam talian.
“Apabila kami menerima aduan ataupun melalui maklumat yang kami perolehi, kami akan maklumkan kepada platform untuk diturunkan kandungan tersebut.
“Setakat ini, purata kadar penurunan kandungan hasil permohonan berkenaan adalah 93 peratus,” katanya ketika ditemui pada Persidangan M360 ASEAN, di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan berkenaan tidak terhad kepada platform yang berlesen sahaja, sebaliknya turut melibatkan platform media sosial lain.
“Mungkin banyak lagi yang tidak dilaporkan ataupun pengguna pun kalau tengok mungkin dia tak akan laporkan atau dia tak tahu pun. Itu merupakan satu perkara yang salah daripada segi undang-undang,” ujarnya.
Eneng Faridah berkata, penjualan dadah dalam talian juga bukan sesuatu yang dilakukan secara terang-terangan, sebaliknya mungkin menggunakan istilah, takrifan atau kaedah tertentu yang hanya difahami penjual dan pembeli.
Beliau berkata, usaha membanteras penjualan dadah dalam talian memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk polis dan syarikat kurier kerana kegiatan itu melibatkan keseluruhan rantaian daripada penjual sehingga pengguna.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memperkukuh kawal selia e-dagang dan membendung penjualan barang terlarang.
Beliau berkata kerjasama itu penting memandangkan masih terdapat kelompangan dalam ekosistem e-dagang negara, khususnya apabila platform e-dagang pada masa ini belum tertakluk kepada pelesenan. –UTUSAN










