Orang awam cekup lelaki pandu berbahaya - Utusan Malaysia

Orang awam cekup lelaki pandu berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dicekup orang ramai sebelum diserahkan pada pihak polis selepas memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kerosakan melibatkan enam buah kenderaan dalam satu kejadian di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengahari sewaktu suspek berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Hyundai Accent itu sedang dalam perjalanan menghala ke Bangsar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu suspek telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Mazda 3 sebelum ia melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda Wave.

“Suspek yang merupakan seorang pekerja di sebuah kedai telefon bimbit itu kemudiannya meneruskan pemanduan lalu bergesel pula dengan sebuah teksi dan sebuah Toyota Vios yang berada di lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Sarifudin, suspek bagaimanapun masih tidak berhenti namun meneruskan pemanduan sehingga dia merempuh bahagian belakang sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC dan mengakibatkan penunggangnya tercampak ke hadapan.

“Suspek yang berasal dari Seri Kembangan itu kemudiannya menyeret motosikal berkenaan sejauh kira-kira lima meter sebelum berhenti dan keluar dari kereta dipandunya dalam cubaan untuk melarikan diri.

“Cubaan melarikan diri itu bagaimanapun gagal apabila suspek akhirnya berjaya ditahan oleh orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut sebelum dia diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Tambahnya, penunggang serta pembonceng kedua-dua motosikal yang mengalami kecederaan ringan sudah dibenarkan keluar setelah mendapat rawatan di Hospital Serdang semalam.

Jelas Sarifudin, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine namun tiada kesan penggunaan alkohol.

“Suspek kini direman selama dua hari untuk disiasat berhubung kes dadah sementara menanti kertas siasatan berhubung kesalahan trafik dilengkapkan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×