Operasi membawa naik SUV putih bermula 2 petang ini - Utusan Malaysia

Operasi membawa naik SUV putih bermula 2 petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Pasukan penyelam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang, akan ke lokasi pada pukul 2 petang ini untuk membawa naik kenderaan tersebut.

Pengarah Koordinasi SAR, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd. Said berkata, pasukan penyelam dijangka membuat selaman pada pukul 3 petang kerana mengikut jadual pasang surut air laut menunjukkan pada masa tersebut adalah ‘slack water’ atau air tenang.

Katanya, petang semalam selepas kenderaan itu berjaya ditemui dan sebanyak tiga kali percubaan dilakukan untuk membawa naik SUV berkenaan menggunakan kren tetapi gagal kerana arus deras antara tujuh ke 10 knot.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selaku penyelaras bagi operasi SAR akan meneruskan operasi membawa naik SUV berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pada pukul 10 pagi ini, pegawai yang menyelaraskan kumpulan penyelam, Leftenan Komander (M) Mohamad Zainal akan membuat taklimat kepada semua penyelam daripada agensi yang terlibat iaitu Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkenaan operasi yang akan dilaksanakan.

SUV berwarna putih yang dikatakan terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang berjaya ditemui oleh pasukan penyelam pukul 4 petang semalam.

Kenderaan itu berjaya dikesan dengan bantuan alat pengesan sonar awam milik Marine Science Technology (Mast). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN