Operasi komersial penapisan PRefChem dijangka mula suku keempat 2019 - Utusan Malaysia

Operasi komersial penapisan PRefChem dijangka mula suku keempat 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) menjangkakan operasi komersial kemudahan penapisannya akan bermula menjelang suku keempat tahun ini berikutan permulaan Unit Penyulingan Minyak Mentah (CDU) di kompleks tersebut hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PRefChem, Dr. Colin Wong Hee Huing berkata, kemudahan penapis itu akan menyediakan keperluan bagi kompleks bersepadu petrokimia yang memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 3.3 juta tan setahun.

Katanya, apabila siap kelak, kapasiti penapisan PRefChem itu akan mencecah kira-kira 300,000 tong minyak mentah sehari selain menghasilkan produk petroleum bertapis termasuk minyak tanah dan diesel yang menepati spesifikasi bahan api Euro 5.

“Sejak awal lagi, projek ini merupakan usaha yang tidak pernah dilakukan bagi industri ini dari segi skala, kesukaran dan teknologi berkaitan.

“Kita menetapkan untuk mencapai usaha ini sejak di peringkat awal lagi sehingga tempoh 60 bulan dan hari ini, penapisan ini telah siap dari segi mekanikal dan dalam pengoperasian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Permulaan CDU itu juga menjadi detik permulaan bagi kemudahan lain yang berkaitan dalam pembangunan bersepadu tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN