KANGAR 5 Jan. – Kariah dan jemaah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi di sini, mahu imam baharu dilantik di masjid itu mengikut amalan mereka selama ini.
Jurucakap mewakili jemaah masjid tersebut, Zainol Abidin Ahmad, 69, berkata, mereka mahu cara-cara dan amalan dilakukan sebelum ini seperti doa lepas sembahyang, qunut, bismillah kuat, wirid selepas solat dikekalkan meskipun dengan kehadiran imam baharu.
“Kita terbuka dan tidak kisah imam baharu tetapi amalan yang diamalkan jemaah di masjid itu selama ini mesti dikekalkan.
“Jika tidak, kami masih berpendirian sama mahu imam satu dan dua masjid tersebut dikembalikan.
“Kamj juga akan menghantar satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) pada Selasa ini berhubung soal tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini meminta 25 orang imam yang ditamatkan perkhidmatan dan dipecat agar menerima keputusan yang dibuat oleh majlis agama itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah sangka terhadap majlis agama itu hendaklah dielakkan kerana tidak ada sesiapa yang mendapat manfaat daripada usaha-usaha seperti itu.
Semalam, sebahagian jemaah dari 10 buah masjid dari negeri ini mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah penamatan perkhidmatan dan pemecatan imam di masjid-masjid terbabit.
Sementara itu, para imam yang ditamatkan jawatan Selasa lalu akur dengan Tuanku Syed Faizuddin yang meminta mereka menerima keputusan yang dibuat oleh MAIPs dengan hati terbuka dan berlapang dada.
Bagaimanapun bagi seorang imam yang enggan namanya didedahkan itu berkata, majlis agama tersebut juga perlu mendengar suara-suara hampir keseluruhan jemaah di masjid terlibat yang mahu bekas imam mereka itu dikembalikan semula.
Katanya, jemaah masih menanti jawapan sebenar dan jujur daripada pihak terlibat sama ada penamatan jawatan itu adalah disebabkan faktor umur, politik, masalah disiplin atau sebenarnya berpunca daripada amalan-amalan yang diamalkan mereka selama ini.
“Disebabkan isu penamatan jawatan ini dilihat ramai jemaah sudah lari ke masjid lain kerana tidak bersetuju dengan perlantikan imam baharu.
“Satu lagi, saya juga ingin memperbetulkan hanya kira-kira lima imam sahaja yang tamat kontrak dan selebihnya telah ditamatkan jawatan mereka atau bahasa mudah, dipecat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










