BIARPUN impian awalnya adalah mahu bergelar penyanyi, namun rezeki Nurul Alyani Jamil lebih kuat di lapangan sukan dan dia kini dianggap antara bintang paling menyinar dalam arena boling padang dunia.
Kejayaan muncul naib juara perseorangan wanita dalam kejohanan berprestij, Juara Antara Juara (COC) tahun lalu melonjakkan nama anak jati Pahang ini.
Kata-kata semangat arwah bapa, Jamil Karim yang mahu melihat Nurul Alyani menempa nama di peringkat dunia sentiasa menjadi azimat buatnya meneruskan perjuangan, apatah lagi dia turut mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada keluarga, terutama ibu, Awiyah Awang yang turut aktif dalam boling padang.
“Sebenarnya, sebelum aktif dalam boling padang saya banyak menyertai program nyanyian.
“Saya tidak ingat tahun bila tetapi saya pernah masuk program Bintang Kecil RTM.
“Mungkin, kalau tidak bergelar atlet, saya akan sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan jadi penyanyi,” kata Nurul Alyani.
Begitupun kata Nurul Alyani, minat terhadap boling padang juga bukan baru dipupuk, sebaliknya dia sudah sebati dengan sukan itu kerana sering mengikuti orang tuanya ke kejohanan-kejohanan seluruh negara.
“Sebenarnya arwah ayah dan ibu adalah bekas jurulatih boling padang.
“Dari kecil saya sudah didedahkan dengan sukan ini dan mula timbul minat ketika berusia 10 tahun.
“Setiap kali ayah melatih anak didiknya, saya akan turut menyertai mereka.
“ Bakat saya kemudian disedari arwah ayah dan dia melatih saya tanpa jemu sehingga mahir,“ katanya lagi.
Menurut Nurul Alyani, kehilangan bapa tersayang akibat kanser pada 25 Jun 2016 menguatkan lagi semangatnya untuk meneruskan perjuangan, apatah lagi selepas mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.
Bakat Nurul Alyani, yang mesra disapa Kakak mula menyerlah apabila menduduki tangga kelapan dalam Sirkit Kebangsaan 2011, sekali gus menerima tawaran menyertai skuad kebangsaan.
“Pada masa sama, saya menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyebabkan saya melepaskan tawaran menjadi sebahagian skuad kebangsaan.
“Jika memilih menyertai skuad kebangsaan, saya perlu tangguh pengajian sedangkan saya masih tidak nampak hala tuju dalam sukan ini,” ceritanya lagi.
Walaupun terpaksa melepaskan peluang keemasan itu, Nur Alyani tetap meningkatkan prestasi serta fokus kepada pelajaran, dan tahun 2014 menjadi titik kejayaannya dalam boling padang apabila dia berjaya ke final dalam semua kejohanan disertai, sekali gus ditawarkan semula tempat bersama pasukan kebangsaan.
Sejak itu, Nurul Alyani tidak lagi menoleh ke belakang, malah memasuki tahun baharu 2019 impiannya lebih tinggi iaitu mencari tiket ke Kejohanan Dunia dan COC 2020.
“Impian utama saya dalam boling padang adalah muncul juara dunia, seterusnya Sukan Komanwel.
“Namun begitu, untuk layak ke Kejohanan Dunia 2020, saya perlu beraksi dalam Kejohanan Asia Pasifik di Broadbeach, Australia dari 18 hingga 28 Jun ini.
“Saya juga rasa lebih yakin dan bersemangat untuk beraksi dalam COC kali ini (dari 28 Oktober hingga 3 November) setelah muncul naib juara pada penampilan sulung tahun lalu,” ujarnya lagi.
Venue Kelayakan COC Malaysia masih menanti pengesahan Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) sama ada di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara atau Oval Bayuemas, Klang.











