JERANTUT 22 Jan. – Generasi kedua Felda terkilan kerana nasib kebanyakan mereka hidup susah walaupun ada sebilangan yang melakukan pelbagai pekerjaan ekoran harga komoditi sawit masih rendah termasuk kos sara hidup semakin tinggi.
Rata-rata mereka yang mempunyai tanggungan terlibat dengan perniagaan secara kecil-kecilan dan bertani di kawasan Felda kini mengeluh kerana pendapatan merosot, pelanggan berkurangan malah berdepan kekurangan kawasan untuk bercucuk tanam.
Seorang peniaga makanan Simpang Felda Jengka Satu dekat sini, Zanurin Baharuddin, 53, berkata, perniagaannya kini merosot berikutan kekurangan pelanggan sejak harga kelapa sawit jatuh enam bulan lalu.
“Hendak mendapatkan semula modal harian cukup sukar apatah lagi berbelanja bahan mentah untuk memasak bagi jualan setiap hari malah semakin tertekan berikutan kenaikan harga barang.
“Hasrat Felda untuk memajukan generasi kedua menerusi bidang keusahawanan dan pertanian masih belum kesampaian kerana kehidupan kami masih di takuk lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang pekebun nanas di Kota Gelanggi, Mohd. Azhar Adnan, 49, berkata, dia terpaksa berusaha keras untuk menyara seramai 10 anak berusia antara setahun dan 21 tahun dengan mengusahakan tanah milik Felda menerusi bantuan sokongan pertubuhan Kami Anak Felda (KAF).
“Kalau nak diharapkan pendapatan bulanan hasil sawit sebanyak RM300, mungkin kami sekeluarga tidak mampu langsung membeli keperluan dapur dan terputus makan minum termasuk persekolahan,” katanya.
Seorang lagi peneroka, Mohd. Nizan Mat Hassan, 40, turut kecewa dengan harga pasaran kelapa sawit yang tidak menentu sehingga tidak mampu menampung keperluan seharian serta kebajikan peneroka.
“Bagi yang menumpang bersama ibu bapa, pendapatan bulanan bawah RM400 sememangnya tidak mencukupi. Hanya mampu membeli sekampit beras dan sedikit keperluan mentah yang lain,” katanya.










