MELBOURNE 26 Jan. – Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain Asia pertama merangkul kejuaraan Grand Slam kedua berturut-turut selepas memenangi Terbuka Australia, hari ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan dia menjadi pemain Asia pertama merampas kedudukan No.1 dunia daripada bintang Romania, Simona Halep.
Osaka yang juga pilihan keempat dan juara Terbuka Amerika Syarikat menundukkan pemain Republik Czech, Petra Kvitova 7-6 (7/2), 5-7, 6-4 dalam aksi yang berlangsung selama 2 jam 27 minit bagi merangkul kejuaraan Terbuka Australia pertamanya.
Pemain Jepun itu kemudian melutut dengan satu kaki dan memberikan tunduk hormat kepada semua yang hadir di Melbourne Park yang kemudiannya dipenuhi dengan sorakan gembira.
“Saya seperti dalam keadaan terkejut sepanjang majlis penyampaian hadiah berlangsung,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Osaka hampir hilang peluang untuk merangkul kejuaraan selepas tiga kali gagal menyempurnakan mata kemenangan ketika mendahului 5-3 dalam set kedua.
Kvitova kemudian mengheret permainan ke set penentuan, namun, Osaka berjaya menamatkan permainan dengan cemerlang.
“Memang saya kecewa kerana saya ada peluang menerusi tiga mata kemenangan.
“Saya kemudian memberitahu diri saya bahawa tiada apa yang boleh dilakukan. Beraksi di final, saya tidak boleh tergesa-gesa dan perlu terus berjuang,” katanya.–AFP











