Najib tak faham kenapa calon DAP tuduh BN rasis - Utusan Malaysia

Najib tak faham kenapa calon DAP tuduh BN rasis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa hairan mengenai tuduhan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran bahawa Barisan Nasional (BN) bermain dengan isu agama dan bangsa untuk memang di PIlihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Najib berkata, dalam PRK tersebut BN tidak pernah berkata, Melayu, Cina dan India tidak akan mengundi Orang Asli ataupun membeli kuih dari mereka.

“Bukan kita yang kata Melayu, Cina dan India tidak akan mengundi Orang Asli ataupun membeli kuih dari mereka.  Itu calon DAP sendiri. Bukan kita yang ugut Tok Batin Orang Asli akan dibuang jika mereka tak sokong PH. Itu rakan calon DAP dari PKR.

“Bukan kita juga yang menuduh Orang Asli bukan warganegara penuh Malaysia. Itu boss besar calon DAP sendiri. Kenapa mahu tuduh kita pula?” tempelek Najib dalam Facebook beliau hari ini.

M. Manogaran semalam menerima kekalahan bagi kali ketiganya di Cameron Highlands dengan hati terbuka apabila tewas kepada pesaing utamanya Ramli Mohd Noor daripada BN.

Manogaran dilaporkan berkata, kekalahan beliau kerana BN memainkan isu perkauman.

“BN main isu kaum, saya tak salahkan pengundi. Ini menjadikan kami lebih kuat kerana kami tidak memandang agama dan kaum,” kata Manogaran dalam reaksi pertamanya kepada pemberita selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Sementara  itu, Najib dalam hantaran yang sama turut  berterima kasih kepada seorang warga emas di Cameron Highlands yang meminta surat ‘lawyer’ atau peguam daripada calon DAP pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands lalu.

Dakwa Najib, wanita tersebut menyedarkan ramai rakyat bahawa janji-janji yang ditabur oleh Pakatan Harapan tidak boleh diterima langsung.

“Di sini, saya juga ingin mengucap terima kasih kepada Mak Cik yang minta surat janji lawyer dari calon DAP.

“Mak Cik telah menyedari ramai rakyat bahawa janji-janji dan air liur PH langsung tak boleh dipakai. TQ Mak Cik! Rakyat tahu beza siapa yang ikhlas dan siapa yang sering menipu hanya untuk merebut kuasa,” kata Najib.

Video warga emas bernama Rahana Hassan, 76,  tular dalam media sosial berikutan tindakannya membidas M. Manogaran ketika calon PH daripada DAP itu sedang berkempen.

“Setakat cakap (janji), semua orang boleh… sebab itu makcik cakap, eloklah kita sediakan (surat) peguam untuk pastikan mereka tepati janji yang dibuat ketika berkempen… kalau tidak tunaikan (janji), pengundi boleh ambil tindakan,” kata Rahana kepada media apabila ditemui baru-baru ini.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×