Najib ada bakat jadi badut media sosial - Rafizi - Utusan Malaysia

Najib ada bakat jadi badut media sosial – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menganggap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang yang mempunyai bakat untuk menjadi badut media sosial kerana mendapat sambutan baik dalam media sosial.

Menurut Rafizi, walaupun sambutan terhadap Najib dalam media sosial menggalakkan tetapi ramai tidak pernah lupa skandal kewangan yang menyusahkan rakyat.

“Jika beliau menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi, saya nasihatkan beliau pendamkan saja kerana beliau ada bakat menjadi badut media sosial seperti sekarang.

“Lebih baik Najib kekal begitu (badut media sosial) kerana rakyat tidak pernah lupa dengan keangkuhan, kemewahan dan penyelewengan yang berleluasa semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi status dalam laman Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, ada perkara yang disuarakan Najib menepati kehendak rakyat yang mahu melihat hasil segera selepas pertukaran kerajaan.

Oleh sebab itu, katanya, keperluan mendesak ketika ini ialah kerajaan perlu merangka program yang boleh memperbaiki mutu kehidupan rakyat dan beliau ingin mengusahakan dua fokus utama untuk tujuan tersebut.

“Pertama, membantu seberapa ramai orang muda mencari pekerjaan dan memadankan mereka dengan seberapa ramai majikan kecil dan sederhana yang memerlukan pekerja. Saya percaya kita boleh membantu orang mudah menambah kebolehpasaran mereka tanpa membelanjakan satu sen pun duit kerajaan.

“Ini berbeza dengan cara Najib yang tidak banyak membantu orang muda dan majikan walaupun beratus juta dibelanjakan. Kedua, membantu seberapa ramai rakyat mengambil tindakan nekad untuk bertindak ke atas sebarang niat dan idea mereka untuk berniaga,” katanya.

Rafizi menambah, masalah utama ketika ini adalah sebahagian besar rakyat khususnya Melayu berkira-kira untuk berniaga tetapi tidak berani selain mudah gagal.

Katanya, Jika masyarakat berjaya mewujudkan budaya berani bertindak atas idea perniagaan yang mereka ada tanpa campur tangan kerajaan, ia akan membawa laba ekonomi selain akan meyakinkan kaum Melayu dan bumiputera yang mereka boleh bersaing tanpa menuding jari kepada sesiapa.

“Yang di dalam kerajaan, laksanakanlah seberapa banyak program. Jelaskan apa hala tuju dan rancangan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat. Yang di luar kerajaan, tumpukan kepada menggembleng tenaga rakyat untuk mengangkat keadaan ekonomi rakyat.

“Satu dua tahun dari sekarang, bila usaha itu membuahkan hasil, Najib akan terus merempit di atas kapcai dan dalam media sosial. Biarkanlah beliau merempit, itu hak beliau, asalkan beliau tidak memakan harta rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN