Mu’adz & Azwan cabar diri kerana Rajinikanth - Utusan Malaysia

Mu’adz & Azwan cabar diri kerana Rajinikanth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun payah tapi seronok. Itu gambaran perasaan yang dialami oleh dua penyanyi nasyid, Mu’adz dan Azwan apabila diberi peluang menyanyikan lagu Tamil berjudul Ullala.

Muadz (kiri) dan Azwan teruja menyanyikan lagu tema filem Peeta lakonan Rajinikanth.

Bukan sekadar merakamkan lagu dalam bahasa tersebut, malah mereka menganggap satu tanggungjawab besar kerana menyanyikan lagu tema untuk filem Petta yang dibintangi oleh pelakon Tamil legenda iaitu Rajinikanth.

Uniknya, ramai yang mahu mendengar bagaimanakah lagu itu disampaikan oleh dua orang penyanyi nasyid. Mereka mengambil masa selama lima hari sebagai persediaan dan merakamkan lagu itu dalam masa 10 jam.

“Bukan mudah sebenarnya mahu menyanyikan lagu Tamil. Kami pula diberikan tempoh yang pendek untuk menguasai lagu tersebut. Selain temponya yang laju, kami perlu menyampaikan bait lirik dengan jelas serta ekspresi yang sesuai.

“Namun, disebabkan filem Petta dibintangi oleh idola iaitu Rajinikanth, ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan. Peluang seperti ini tidak akan datang kali kedua. Kerana Rajinikanth, kami sanggup tempuh cabaran melalui kepayahan dalam merakamkan lagu Ullala.

“Ramai yang tanya bolehkah kami penyanyi nasyid menyanyikan lagu Tamil yang jelas cara sebutannya jauh berbeza. Sebenarnya sebelum ini kami berdua pernah menyanyikan lagu Tamil berjudul Azhagu pada 2014 menerusi kumpulan Salaam,” kata Mu’adz yang sebelum ini merupakan penyanyi nasyid solo.

Dia pernah menerbitkan album Rindukan Cahaya pada 2013 manakala Azwan ialah ahli kumpulan nasyid Fareast yang sudah muncul dengan lapan album.

Sementara itu menurut Azwan, dia tidak pernah menyangka akan merakamkan lagu tema filem lakonan Rajinikanth.

“Apa yang saya boleh cakap, sepanjang saya dalam bidang seni, ini antara pencapaian yang boleh dibanggakan sebagai rekod peribadi. Mungkin bagi orang lain ia perkara biasa, tapi peluang ini terlalu istimewa dan pengalaman manis yang tak mungkin dilupakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×