KUALA LUMPUR: UMNO tidak lagi boleh menganggap Sabah dan Sarawak sebagai ‘deposit simpanan tetap’ dalam politik negara, sebaliknya perlu mengiktiraf kedua-dua negeri itu sebagai komponen penting dalam usaha membentuk kerajaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan politik semasa menuntut UMNO supaya lebih berhati-hati dalam membuka ruang kerjasama pelbagai parti Melayu agar tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat bukan Melayu serta rakan-rakan politik di Sabah dan Sarawak.
“Terbukanya ruang kerjasama pelbagai parti Melayu dalam pilihan raya, haruslah jangan menyinggung rakan-rakan kita, dari pelbagai bangsa lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
Jangan sesekali kita memikirkan konstituen kita hanya Melayu.
“Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan, di kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.
“Ingat, bila politik Malaysia ini ‘chaotic’ dan kacau bilau, kita memerlukan keyakinan bukan Melayu dan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan.
“Mereka sekarang telah menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka adalah deposit simpanan tetap telah tinggal menjadi kenangan,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di sini hari ini.-UTUSAN








