KUALA LUMPUR 31 Jan.- Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan mengkaji tatacara menjawab surat jemputan menghadiri majlis yang dihantar kepada pemimpin mereka terutama melibatkan Menteri dan Timbalan Menteri.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, penganjur menjemput tetamu kehormat untuk memeriahkan majlis sebagai tanda penghormatan namun ada yang tidak menjawab surat berkenaan.
“Jemputan itu adalah tujuan majlis-majlis tertentu atau pun majlis suai kenal atau kunjung hormat.
“Kajian yang dibuat UNI-MLC mendapati ada jemputan yang dihantar kepada Menteri atau Timbalan Menteri tidak dijawab dan kadang-kala penganjur terpaksa menghubungi mereka berkali-kali untuk mengetahui kehadiran,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya lagi, budaya tidak menjawab surat dilihat sebagai budaya yang kurang baik kerana rakyat Malaysia mempunyai tahap komunikasi yang baik dan perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku. – UTUSAN ONLINE











