Menteri nafi luluskan AP eksport pasir kepada empat syarikat kroni - Utusan Malaysia

Menteri nafi luluskan AP eksport pasir kepada empat syarikat kroni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 17 Jan. – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan kelulusan permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya secara rundingan terus.

Jelasnya, syarikat perlu mendapatkan lesen mengorek pasir daripada kerajaan negeri terlebih dulu sebelum boleh memohon permit K2 secara dalam talian untuk kebenaran mengeksport pasir. 


“Ada sebuah jawatankuasa di kementerian yang akan menilai permohonan sebelum dibawa kepada menteri untuk kelulusan. 


“Itu adalah prosedur biasa dan tidak ada syarikat kroni dan saya tidak tahu mana-mana syarikat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara kepada Indah Water Konsortium di sini hari ini. 


Portal berita, Sabahkini2.com mendakwa, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat telah memberikan kelulusan khas AP eksport pasir yang sebelum ini dibekukan kepada empat syarikat didakwa ada kaitan dengan dirinya. 


Dakwa portal itu lagi, satu surat memorandum yang tular menunjukkan pemilik empat syarikat berkenaan telah bertemu dengan Xavier dan kelulusan itu dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 


Mengulas lanjut, Xavier menafikan penglibatan Perdana Menteri dan tegasnya tidak ada keperluan untuk Kabinet membincangkan perkara tersebut. 


Menurut beliau, terdapat permintaan untuk eksport pasir, namun beliau menasihatkan pihak yang terlibat supaya mematuhi Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan kajian hidrologi di kawasan yang akan dikorek. 


“Kita juga ada persetujuan dengan Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kalau keperluan untuk pasir dalam negara meningkat, kelulusan eksport akan dihentikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN