Menggamit kenangan di bumi Canterbury - Utusan Malaysia

Menggamit kenangan di bumi Canterbury

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1998, di bumi Canterbury, United Kingdom inilah penulis mengenal erti berdikari dan kerja keras untuk mengenggam segulung ijazah sarjana muda. Penulis turut berjanji kepada diri sendiri untuk kembali ke bumi ini 20 tahun kemudian bagi menjejakkan kaki ke alma mater penulis, University of Kent yang menjadi antara tunggak utama bandar ini.

Pada November tahun lepas, setelah merancang untuk membuat penyelidikan dan bercuti di United Kingdom, penulis menempah tiket kereta api pergi-balik dari London Victoria ke Canterbury East, Kent. Ia merupakan satu laluan yang agak simbolik untuk pelajar Malaysia di Kent pada ketika itu untuk pulang dari kota metropolitan London.

Canterbury, Kent merupakan suatu bandar kecil yang masih utuh dengan seni bina dan tradisi British. Bandar ini tidak mempunyai sebarang pusat beli belah. Yang tersusun hanyalah high street shopping yang begitu jauh bezanya kalau nak dibandingkan dengan pusat beli belah tersohor di Malaysia. Namun kini bandar Canterbury kian membangun dan kesan migrasi turut mewarnai bandar ini. Jenama popular seperti Primark, Debenhams, Fenwick, TK Maxx dan Marks & Spencer adalah antara yang mula menapak di sini.

Pada 1998, memang agak sukar untuk mencari ayam halal. Hanya sebuah pasar raya kecil yang menjual dan stoknya sangat terhad. Kami beli ayam di kedai Netto dahulu dan kami sangat kagum dengan logo halal yang tertera di bungkusan plastik. Ketika itu, bandar ini hanya mempunyai sebuah panggung wayang kecil dan sebuah kedai kebab yang halal, Ocakbasi. Alangkah bangganya apabila penulis melihat kedai milik keluarga dari Timur Tengah ini masih lagi teguh berdiri. Sempat penulis menjamu selera dengan doner kebab istimewa kedai ini. Rasanya masih sama seperti 20 tahun lalu.

Universiti of Kent terletak di atas bukit. Di kala penulis berdiri di hadapan Templeman Library dan memandang ke bawah, dapat dilihat keseluruhan bandar Canterbury. Di sinilah tempat kami pelajar-pelajar Malaysia sering duduk berkumpul membawa bekalan makanan dari rumah dan berbincang tentang hidup masing-masing.

Bukan sahaja proses pembelajaran akademik yang mencabar tetapi proses adaptasi dan bersosial turut meninggalkan kenangan tersendiri. Ingat lagi sewaktu Malaysia Night, kami belajar tarian tradisi dan kenangan yang agak kelakar adalah apabila kami membawa persembahan dandgut di pentas antarabangsa.

Suasana hari raya yang disangka disulami kesedihan pula dipenuhi hilai ketawa apabila sama-sama cuba untuk memasak rendang tanpa adanya Google. Semua memberikan input resepi ibu masing-masing membuatkan hasil rendang kami agak caca-marba dan unik. Di sinilah ramai daripada kami belajar memotong bawang, memotong ayam, menyiang ikan dan memasak buat pertama kalinya.

Antara transformasi yang memanjatkan rasa syukur adalah universiti kini mempunyai masjidnya yang tersendiri. Sesuatu yang tidak pernah saya impikan. Sempat saya bersolat jamak qasar di masjid ini. Jikalau pada masa dahulu, hanya satu ruang kecil dalam bilik seminar disediakan untuk tujuan beribadah.

Apabila mengambil bas untuk pulang ke stesen keretapi Canterbury, banyak kenangan lama bermain di fikiran. Di sinilah saya mengenal erti semangat persahabatan dan perjuangan. Teman-teman seperjuangan ini merupakan ahli keluarga saya. Syukur alhamdulillah, kini ramai yang memegang jawatan besar dalam kerjaya masing-masing. Alangkah indahnya jikalau suatu hari nanti penulis dan teman-teman lama dapat ke sini dan mengadakan reunion besar mengimbau kenangan susah senang bersama. Insya-Allah, suatu impian yang akan cuba direalisasikan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Komunikasi Antara Budaya di Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×