PEMILIHAN Yang di-Pertuan Agong Ke-16 baru-baru ini menzahirkan manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Ini kerana ia tidak berlaku di mana-mana negara selain di negara ini.
Pemilihan yang berlangsung pada 24 Januari lalu menyaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini (31 Januari 2019).
Pemilihan Seri Paduka dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara. Seri Paduka menggantikan Sultan Muhammad V yang turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.
Sebenarnya, sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu merupakan negara yang berdaulat. Negara-negara berdaulat ini dimiliki oleh rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing.
Oleh itu, tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, raja-raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana baginda mempunyai jajahan sendiri.
Malah, mewakili Negeri Sembilan, empat Dato Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Dato Undang di Negeri Sembilan juga mempunyai jajahan mereka sendiri.
Begitulah pentingnya kerajaan Melayu di Malaysia. Malah, di Malaysia kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai ‘kerajaan’ bukan ‘pemerintah’. Kalimah kerajaan mempunyai akar kata raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura umpamanya.
Lantas Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan perdana menteri atau pihak lain.
JATI DIRI NEGARA
Persekutuan Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya sendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu, namun mempertahankan institusi raja sangatlah perlu kerana ia merupakan jati diri negara kita.
Setiap pihak sama ada raja, rakyat mahupun pemimpin kerajaan perlu akur dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kemegahan dan gahnya institusi dan peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya, tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi diduduki.
Rata-rata rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sangat taat kepada raja-raja sehinggakan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sentiasa meniti dalam hati masyarakat Melayu.
Jangan sesekali mencemarkan institusi raja-raja Melayu apatah lagi ia telah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Ironinya ada yang mempertikaikan institusi raja-raja Melayu, tetapi tidak malu-malu pula apabila menerima anugerah daripada raja-raja Melayu.
Raja dan rakyat berpisah tiada, ia bagai aur dengan tebing yang saling melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahan raja.
Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu. Yang di-Pertuan Agong yang baharu dipilih ini telah menzahirkan keakraban Seri Paduka bersama rakyat apabila acapkali dilihat mengabaikan protokol diraja semata-mata meluangkan masa bersama rakyat.
Malah, Raja Permaisuri Agong, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula terkenal dengan keramahan dan sering bertemu rakyat, malah memasak bersama rakyat. Keakraban sebegini adalah resipi kepada keharmonian negara dan rakyat akan terus hormat kepada institusi raja.
KETUA AGAMA ISLAM
Sebagai ketua agama, raja-raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa. Raja-raja merupakan benteng terakhir umat Islam dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat ini perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan raja-raja.
Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah kebebasan mutlak. Ia boleh dan telah disekat oleh undang-undang. Rakyat bebas mengeluarkan pandangan dan mengkritik tindakan raja-raja Melayu begitu juga memujinya.
Namun, pandangan dan kritikan tersebut perlulah disulami dengan nilai ketimuran, adab sopan dan tidak mencemarkan kemuliaan institusi raja itu sendiri.
Malah, Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan khusus iaitu, sekiranya mana-mana orang yang tidak berpuas hati terhadap perlakuan peribadi mana-mana raja Melayu sama ada dalam kes jenayah atau kes sivil boleh membawa tindakan tersebut ke Mahkamah Khas menurut Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.
Raja-raja juga boleh memulakan tindakan terhadap mana-mana orang melalui peruntukan yang sama.
Hakikatnya kebebasan tersebut tidak disalurkan untuk bercakap bohong, memfitnah atau menghasut khususnya terhadap raja-raja kerana ia mempersoalkan kewibawaan dan kemuliaan satu elemen penting dalam negara. Sewajarnya tindakan segera diambil terhadap mereka yang berbohong, memfitnah atau menghasut sebegini.
Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita perlu pertahankan jati diri negara ini. Jangan alihkan institusi raja-raja Melayu dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain. Raja dan rakyat berpisah tiada.
Allahuakbar. Daulat Tuanku!










