JASIN – Kerajaan negeri merangka model baharu perumahan dikenali Rumah Harapan sebagai salah satu usaha membantu pemilikan rumah bagi kumpulan masyarakat berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, model rumah mampu milik itu akan ditawarkan pada anggaran harga bermula dari RM80,000 hingga RM180,000 menerusi kerjasama pintar bersama syarikat swasta yang berkelayakan.
Katanya, pelancaran pemilikan Rumah Harapan itu dijangka dibuat pada Mac depan dengan kemudahan pinjaman perumahan menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia.
“Melaka menyahut gesaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung isu perumahan B40 yang sangat kritikal pada masa kini dan kita mencari jalan bagi mempermudahkannya demi manfaat rakyat.
“Melalui kerjasama dengan KPKT dan Bank Negara Malaysia, kita berharap isu utama iaitu kekangan untuk mendapatkan pinjaman bank bagi pemilikan rumah B40 dapat diatasi seterusnya membantu mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, di sini hari ini.
Adly berkata, masalah utama bagi kelompok B40 adalah faktor mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Di Bandar Jasin Bestari contohnya, secara purata 70 peratus permohonan diterima pemaju bagi rumah mampu milik berharga RM110,000 tetapi hanya 20 peratus yang lulus pinjaman manakala 50 peratus lagi gagal.
“Justeru, dengan inisiatif tersebut, kita akan membantu memudahkan kumpulan B40 mendapat kelulusan pinjaman perumahan termasuk menyediakan faedah seperti pengecualian pembayaran yuran guaman,” ujarnya. – K! ONLINE










