Melaka River Cruise tutup tiga hari bermula 15 Januari - Utusan Malaysia

Melaka River Cruise tutup tiga hari bermula 15 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Perkhidmatan bot Melaka River Cruise (MRC) di sini akan tutup selama tiga hari bermula 15 Januari bagi kerja-kerja meningkatkan mutu pengurusan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Azlan Abidin berkata, penambahbaikan itu merangkumi perkhidmatan dari segi keselesaan dan keselamatan pengunjung. 

“Walaupun penutupan itu nanti akan menjejaskan sedikit jumlah kutipan tahunan tiket, namun langkah itu perlu diambil bagi memastikan mutu pengurusan syarikat berada pada tahap terbaik. 

“Ini termasuklah aspek keselesaan dan keselamatan pengunjung yang dijangka akan bertambah dengan sasaran 1.5 juta sepanjang tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Azlan berkata, MRC juga akan memperkenalkan produk baharu perlancongan di Sungai Melaka itu dengan menawarkan perkhidmatan bot Mawar. 

“Bot Mawar ini akan dihiasi dengan warna-warni lampu dan menyediakan pakej menarik untuk meraikan acara-acara istimewa seperti majlis ulang tahun,” katanya. 

Menurutnya, dua bot baharu juga akan ditambah pada hujung bulan ini bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang semakin ramai terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum. 

Sehingga kini MRC mempunyai 34 buah bot dan menyasarkan memiliki 55 buah bot bagi menampung keperluan Fasa Dua selain 21 bot yang akan ditukar ganti baharu hingga tahun depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×