MISANO: Jorge Martin enggan terlalu memikirkan kedudukannya sebagai pendahulu Kejuaraan Dunia MotoGP menjelang Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano, Ahad ini.
Pelumba Aprilia itu kini mengungguli kedudukan dengan kelebihan 19 mata ke atas juara bertahan daripada Ducati, Marc Marquez manakala rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi ketinggalan 24 mata.
Martin yang baru meraih satu kemenangan GP musim ini mengekalkan kedudukannya di tangga teratas hasil persembahan konsisten sejak perlumbaan di Assen.
Bagaimanapun, pelumba Sepanyol itu sedar kedudukannya boleh berubah dengan pantas sekiranya mengulangi kehilangan 21 mata kepada Marquez seperti yang berlaku di Aragon.
“Saya rasa mendahului kedudukan kejuaraan penting buat seluruh pasukan Aprilia, tetapi kami sudah melihat bahawa dengan jurang mata yang begitu rapat, ia bukan keutamaan atau penentu. Kami perlu terus memberikan tumpuan kepada tugas kami,” katanya.
Martin, yang pernah muncul juara di Misano pada 2023, turut menyifatkan perlumbaan di laman sendiri Aprilia itu sebagai sesuatu yang istimewa.
“GP Misano sentiasa istimewa apabila anda bersama pasukan dari Itali dan bersama Aprilia serta para peminat, saya yakin ia akan menjadi hujung minggu yang hebat.
“Kami menuju ke litar yang saya gemari selepas melakukan tugas dengan baik di Aragon dan kami mempunyai sasaran yang jelas,” katanya.
Sementara itu, Bezzecchi mengintai peluang untuk melakar satu lagi kejayaan di laman sendiri selepas meraih kemenangan penuh emosi di Mugello pada Mei lalu.
Pelumba Itali itu memberikan saingan sengit kepada Marquez ketika sesi kelayakan dan perlumbaan pecut di Aragon, selain menamatkan perlumbaan Misano tahun lalu di tempat kedua di belakang juara dunia tersebut.
“Saya sangat gembira untuk menuju ke Misano. Ia pasti hebat untuk akhirnya bertemu semula dengan semua peminat kami, walaupun ia sudah tentu akan menjadi hujung minggu yang mencabar. Saya tidak sabar untuk kembali ke litar dengan RS-GP26 saya,” katanya. – AGENSI










