MCA perlu pisahkan dasar luar dan sukan - Utusan Malaysia

MCA perlu pisahkan dasar luar dan sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bertentangan dengan pendirian Pemuda MCA yang menganggap keputusan kerajaan melarang kemasukan atlet Israel ke Malaysia sebagai menyedihkan dan mundur, Pemuda UMNO tetap menyokong dasar luar negara yang menolak kewujudan negara haram Israel.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, pergerakannya akan terus bersolidariti dengan penduduk Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan akibat kekejaman dan diskriminasi berterusan yang dilakukan negara Yahudi itu. 

Menurutnya, Pemuda UMNO tidak mempunyai sebarang halangan untuk negara menganjurkan atau menjadi tuan rumah apa-apa acara baik sukan, akademik mahupun diplomatik.

“Kami percaya sukan adalah perkara sejagat dan perlu diraikan oleh semua pihak. Malah, Pemuda UMNO tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menyokong usaha yang realistik dalam pembangunan sukan di dalam negara termasuk menghantar atlet untuk menyertai kejohanan antarabangsa. 

“Namun begitu, sebarang percubaan menerima masuk atlet Israel ke Malaysia nyata bercanggah dengan dasar luar negara kita.

“Malah, penerimaan mereka untuk memasuki dan melalui pintu masuk rasmi negara hanya memberikan legitimasi kepada kewujudan negara Yahudi itu, sekali gus mengiktiraf kedaulatannya,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Ikmal Hazlan berkata, pengiktirafan ini juga bermakna Malaysia mengiktiraf kekejaman dan diskriminasi negara haram itu terhadap penduduk Palestin. 

“Adakah MCA mahu memikul perkara ini? Oleh itu, MCA dinasihatkan agar tidak mempolitikkan isu ini. Kritikan harus dihalakan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang sepatutnya telah memaklumkan kepada negara-negara anggota badan berkenaan mengenai dasar imigresen Malaysia bagi kemasukan atlet yang ingin bertanding di kejohanan yang dimaksudkan,” katanya.

Beliau berkata, IPC boleh sahaja meneruskan kejohanan ini dan menasihatkan Israel untuk berundur daripada menyertainya tetapi IPC lebih gemar berpolitik daripada memberikan peluang kepada atlet lain bertanding secara sihat.

Menurutnya, ternyata pandangan bahawa sebahagian besar dunia proksi kepada Israel adalah benar.

“IPC mengambil langkah ini dengan mengetahui bahawa Israel telah banyak kali menghalang atlet negara Islam terutama Palestin daripada bertanding di negara mereka. 

“Justeru, Pemuda UMNO menyarankan MCA melihat perkara ini dari lensa mata Dasar Luar Negeri kita yang jelas mengenai isu Palestin. 

“Jangan kita campur-adukkan sukan dan isu kemanusiaan. Ini adalah pendirian Malaysia, bukan sebuah parti politik,” katanya.

Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Tan Teik Peng sebelum ini bertegas isu larangan ke atas atlet Israel ini telah mencemarkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa dan beranggapan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal membezakan antara sukan dan politik. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN