MB minta Felcra segera bayar elaun - Utusan Malaysia

MB minta Felcra segera bayar elaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 26 Jan. – Kerajaan negeri telah meminta Felcra supaya mempercepatkan bayaran sara hidup bulanan sebanyak RM800 kepada 100 keluar­ga peserta Felcra Rom­pin di Jempol yang terhenti sejak Ogos tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menyedari masalah yang dihadapi penduduk, namun tidak mengetahui punca bayaran itu tidak dibuat pihak Felcra.

“Saya sudah hubungi dan minta agar Felcra menyegerakan pembayaran sara hidup, kerana agak lama (tidak dibayar).

“Pembayaran bukan dihentikan (terus), mungkin ada masalah kelewatan dan itu Felcra pusat akan bincangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyua­rat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sikamat di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penderitaan kira-kira 500 penduduk dari 100 keluarga peserta Felcra Rompin selepas elaun sara hidup RM800 tidak mereka terima sejak Ogos tahun lalu.

Mereka sepatutnya mendapat bantuan itu kerana melaksanakan projek tanam semula getah pada Ogos 2015 sehingga pokok getah mencapai tahap matang dalam tempoh enam tahun.

Ekoran tiada sumber pendapatan lain, penduduk yang kehabisan wang simpanan terpaksa menjual motosikal dan kereta, manakala bekalan air dan elektrik dipotong kerana gagal membayar bil.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, isu tersebut pernah dibincangkan dengan Felcra pada penghujung tahun lalu dan Felcra telah menyalurkan bantuan persekolahan untuk meringankan beban penduduk.

Ditanya bantuan segera oleh kerajaan negeri, Aminuddin berkata, pihaknya akan mengkaji perkara tersebut.

Katanya, sebelum ini beliau sendiri telah memberi bantuan RM100 untuk anak-anak peserta Felcra bagi keperluan persekolahan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN