Mayat warga asing dipercayai dibunuh ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat warga asing dipercayai dibunuh ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Pengunjung dan peniaga di sekitar Pasar Pudu digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki warga asing di bawah jejambat Jalan Yew, di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat daripada orang awam pada pukul 8.07 pagi.


Menurutnya, apabila tiba di lokasi, anggota bertugas telah menemukan mayat seorang lelaki dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an dalam keadaan terlentang di atas permukaan jalan berhampiran longgokan sampah di bawah jejambat tersebut.


“Pemeriksaan awal pihak forensik mendapati jari telunjuk kaki kanan mangsa putus dan terdapat beberapa kesan luka pada anggota badan selain kesan lebam di mata dan rusuk mangsa.


“Kita percaya mangsa telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan ini kerana tiada kesan darah pada pakaian dan lokasi penemuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.


Rudy memaklumkan, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.


“Kita masih dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemukan.


“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya yang turut menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN