ALOR SETAR – Mayat seorang nelayan ditemui di dalam sebuah bot yang terdampar di kawasan berbatu di Pulau Singa Besar, Langkawi dekat sini hari ini.
Mangsa, Mahadzir Hamid, 61, ditemui orang awam dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dalam bot nelayan tersebut.
Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama (M) Rozali Mohd. Said berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mangsa pada pukul 12.08 tengah hari ini.
“Pusat Operasi Maritim Bukit Malut kemudian menggerakkan sebuah kapal ke lokasi dengan dibantu sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia dan bot tersebut telah ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi.
“Mangsa dikatakan keluar ke laut seorang diri pada petang semalam sebelum botnya ditemui tengah hari ini. Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong berikutan penemuan hasil tangkapan di dalam bot,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Bot nelayan itu juga telah diserahkan kepada waris mangsa,” katanya. – K! ONLINE










