KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dijumpai dalam keadaan badannya terikat dengan wayar di Sungai Gombak berhampiran Pekeliling Business Centre, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 1.16 petang mengenai penemuan mayat yang terapung di dalam sungai berkenaan.
“Pasukan forensik juga dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati mayat tersebut merupakan lelaki yang lengkap berpakaian t-shirt dengan memakai seluar slack panjang.
“Namun begitu, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada dokumen atau barang peribadi milik mangsa ditemui. Bangsa serta umur juga masih belum dapat dipastikan,” jelasnya.
Tambahnya, bedah siasat akan dilakukan pada hari esok di Hospital Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi memberitahu, sebanyak sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, kita mendapati terdapat seorang mayat lelaki terapung dengan badannya berikat dengan wayar serta diletakkan batu dipercayai sebagai pemberat dalam sungai itu.
“Operasi tamat pada pukul 3.31 petang dan mayat diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE










