Mayat bayi perempuan ditemui dengan nota 'tolong' - Utusan Malaysia

Mayat bayi perempuan ditemui dengan nota ‘tolong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Satu mayat bayi perempuan dengan nota ‘tolong’ ditemui di tepi jalan berhampiran Masjid Kampung Kuala Nau, Baling dekat sini hari ini.

Mayat bayi yang sudah berbau itu ditemui penduduk kampung kira-kira pukul 7.15 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Imam Masjid Kampung Kuala Nau memaklumkan terdapat satu bungkusan plastik dengan sekeping kertas tertulis perkataan tolong.

“Imam terbabit sebelum itu dihubungi seorang penduduk kampung yang curiga melihat bungkusan plastik dengan sekeping nota sebelum dia pergi ke tempat kejadian.

“Dia kemudian mendapati bungkusan plastik itu mengeluarkan bau busuk seperti bau mayat sebelum menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut menemui mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat selain sudah berbau kerana dipercayai telah dilahirkan kira-kira 36 jam lalu.

“Mayat bayi dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya masih mengesan ibu bayi terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.- K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN