Mayat bayi dengan nota 'tolong' ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat bayi dengan nota ‘tolong’ ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING 22 Jan. – Satu mayat bayi perempuan dengan sekeping kertas yang tertulis perkataan ‘tolong’ ditemukan di tepi jalan berhampiran Masjid Kampung Kuala Nau, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mayat bayi yang sudah berbau dan diletakkan dalam bungkusan plastik berwarna jingga itu ditemukan seorang penduduk kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shariffuddin Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Imam Masjid Kampung Kuala Nau yang memaklumkan terdapat satu bungkusan plastik dengan sekeping kertas tertulis perkataan tolong.

“Imam terbabit sebelum itu dihubungi seorang penduduk kampung yang curiga melihat bungkusan plastik dengan sekeping nota sebelum dia pergi ke tempat kejadian.

“Dia kemudian mendapati bungkusan plastik itu mengeluarkan bau busuk seperti bau mayat sebelum menghubungi pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shariffuddin, pemeriksaan lanjut menemukan mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat selain sudah berbau kerana dipercayai telah dilahirkan kira-kira 36 jam lalu.

“Mayat bayi terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Kata beliau , pihaknya masih mengesan ibu bayi terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN