Mat Sabu enggan ulas penahanan anak - Utusan Malaysia

Mat Sabu enggan ulas penahanan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH 6 Jan. – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu enggan mengulas lanjut berkaitan penahanan anak lelakinya, Ahmad Saiful Islam, 31, yang disyaki positif ganja dalam pemeriksaan di sebuah pusat hiburan eksklusif di ibu negara, kelmarin.


“Tiada kenyataan tambahan melainkan kenyataan bertulis (semalam),” katanya ringkas selepas menziarahi keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau Tepi Laut di sini, hari ini.


Semalam, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kenyataannya berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung penahanan Ahmad Saiful Islam yang ditahan dalam sebuah pusat hiburan.


Jelas Mohamad, beliau telah dimaklumkan mengenai penahanan anaknya itu oleh pihak polis dan mahu kes tersebut diselesaikan berdasarkan kepada proses undang-undang sedia ada.


“Anak saya sama seperti anak orang lain yang juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya menerusi kenyataan itu.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pihaknya menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk digerakkan bagi membawa pulang penuntut Malaysia yang mungkin terperangkap dalam ketegangan di Khartoum, Sudan sekiranya perlu.


“Kita bersedia, tunggu arahan dan kerjasama Kementerian Luar. Kalau mereka kata perlu kita akan bawa balik dengan pesawat yang telah tersedia seperti C130 atau A400M,” katanya.


Berhubung laporan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang yang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar di Singapura susulan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS), Mohamad berkata, perkara itu juga dibawah bidang kuasa Kementerian Luar, ketika ini.


“Sebarang kenyataan hanya dibuat oleh Kementerian Luar, saya sebagai anggota dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya berbincang di peringkat itu dan tidak akan menambah apa-apa (kenyataan),” katanya.


Dalam satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 1 Disember lalu, prosedur pelaksanaan ILS bagi landasan di lapangan terbang itu berkuat kuasa pada pukul 12 tengah malam, Rabu lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN