MELAKA – Bekas bintang import dari Kedah, Liridon Krasniqi hari ini menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan Melaka United, sekali gus melengkapkan kuota pemain import skuad Sang Kancil.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, kehadiran penyerang import dari Kosovo itu diharap dapat mempertajamkan jentera serangan Melaka United bagi menghadapi Liga Super yang akan membuka tirainya pada 2 Februari depan.
Katanya, Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don merupakan magnet terbaik untuk menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium untuk memberi semangat kepada skuad kendalian Zainal Abidin Hassan.
“Hari ini kehadiran Liridon bukan setakat melengkapkan jumlah pemain import Melaka malah ia juga menamatkan spekulasi pasukan mana yang akan diwakili oleh bekas penyerang Kedah itu.
“Kita harap Liridon juga bakal menjadi faktor tarikan kepada penyokong untuk datang menyaksikan perlawanan Melaka united selepas ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani lima pemain pasukan itu di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini pagi ini.
Bekas penyerang sensasi Kedah itu menjadi milik pasukan Melaka United selepas menandatangani kontrak selama setahun.
Sebelum ini, beliau digembar-gemburkan bakal menyertai pasukan Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) , namun Liridon memilih Melaka United selepas mewakili Helang Merah selama empat musim.
Pada majlis menandatangani kontrak itu, Melaka United mengikat empat pemain import iaitu Liridon, pemain pertahanan, Jang Suk-Won dari Korea Selatan; pemain tengah, Darko Markovic dari Montenegro dan penyerang, Anselmo Casagrande dari Brazil.
Turut menandatangani kontrak selama setahun ialah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. – K! ONLINE










