Maszlee sebak kongsi kisah pengorbanan guru - Utusan Malaysia

Maszlee sebak kongsi kisah pengorbanan guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Jan. – “Kita ini hidup dengan impian. Impianlah yang memberikan kita sebab untuk bangun esok pagi dan meneruskan kehidupan.”


Itu merupakan kata-kata yang diungkapkan oleh guru Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang masih diingatinya sehingga kini. Maszlee malah memberitahu gurunya iaitu Sakijan Muri telah menyemai semangat dalam dirinya untuk berjaya sejak beliau berusia 15 tahun lagi. 


Dalam nada sebak ketika berkongsi kisah itu, Maszlee berkata, Sakijan sering membawa pendekatan berbeza dalam melihat perkara-perkara seharian, malah dalam persoalan melibatkan urusan agama. 


“Seawal umur saya 15 tahun, beliau telah menyemai satu harapan agar saya menjadi Menteri Pendidikan untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan. Beliau jugalah yang telah menjentik pemikiran kritikal saya untuk menjadikan pendidikan sebagai proses pembinaan manusia berdaya saing tanpa tercabut sifat manusiawinya. 


“Bersama titipan impian untuk menjadi Menteri Pendidikan semenjak 30 tahun dahululah yang telah memandu saya untuk sampai ke posisi di mana saya berdiri hari ini. Pada hari bersejarah ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada beliau. Terima kasih untuk segala-galanya, ustaz,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perutusan Amanat Menteri Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×