JOHOR BAHRU 15 Jan. – Orang ramai yang ingin membuat aduan jenayah boleh memaklumkan dalam Facebook rasmi polis Johor supaya maklum balas pantas dan berkesan dapat dilakukan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya memantau Facebook itu setiap masa dan kemudahan tersebut merupakan alternatif untuk orang ramai membuat aduan.
“Janganlah hantar benda yang bukan-bukan pula, manfaat kewujudan Facebook polis Johor dengan sebaik-baiknya untuk kesejahteraan dan kepentingan awam.
“Saya sendiri baca dan pantau segala aduan dalam Facebook berkenaan. Kita juga mengambil perhatian terhadap apa yang dikongsikan atau ditularkan dalam Facebook itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Apresiasi Keselamatan Untuk Kesejahteraan Awam di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Mohd. Shaman Jaes.
Mohd. Khalil Kader berkata, kewujud Facebook Polis Johor dilihat tidak dimanfaatkan orang ramai apabila mereka memuat naik gambar dan mengutarakan perkara yang remeh-temeh. – UTUSAN ONLINE










