MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menjelaskan pasukannya telah membuktikan kualiti sebenar yang dimiliki oleh mereka apabila mencerahkan semula peluang dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana England (EPL) dengan kemenangan 2-1 ke atas pendahulu, Liverpool di Stadium Etihad, awal pagi semalam.
Juara bertahan itu berjaya mengurangkan jarak kepada empat mata di tangga kedua dan turut menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool sepanjang musim ini.
Kemenangan tersebut turut dilihat mampu menyuntik semula semangat City selepas tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka.
“Kami telah mengurangkan jarak tetapi mereka masih lagi mendahului carta liga dengan empat mata.
“kemenangan ini berjaya mengurangkan tekanan kami dan ia juga detik yang manis buat kami. Saya mahu ucapkan tahniah dan terima kasih kepada pemain di atas apa yang mereka lakukan hari ini.
“Mereka telah menunjukkan betapa bagusnya mereka dalam pasukan ini dengan menentang sebuah pasukan yang hebat. Ia satu pertunjukkan yang menarik kerana kedua-dua pasukan mahu menang.
“Apa pun perebutan liga kembali terbuka dan akan menjadi sengit sekali lagi,” jelas Guardiola.
Pada aksi tersebut, City berjaya meledakkan gol pertama hasil rembatan kencang Sergio Aguero pada minit ke-40 sebelum Liverpool menyamakan kedudukan hasil tandukan Roberto Firmino dalam kotak penalti pada minit ke-64.
Gol kemenangan City bagaimanapun hadir menerusi pemain sayap lincah, Leroy Sane pada minit ke-72. – Agensi










