SINGAPURA – Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa kedua-dua pihak masing-masing akan menggantung secara serentak pelaksanaan Kawasan Larangan (RA) oleh Malaysia dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar.
Tempoh penggantungan serta-merta itu adalah selama sebulan, demikian menurut kenyataan bersama selepas mesyuarat dua hala antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di sini semalam.
Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak turut bersetuju pada masa ini, Menteri Pengangkutan dari kedua-dua negara itu perlu bertemu segera untuk perbincangan mengenai RA dan tatacara ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penerbangan awam.
“Langkah yang kami persetujui adalah positif dan terdapat usaha konstruktif ke arah meredakan keadaan berhubung perkara ini. Kami percaya ia akan mewujudkan persekitaran yang konstruktif bagi kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama terhadap isu dua hala kita,” kata Saifuddin.
Mesyuarat dua hala itu berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura di Sherwood Road di sini.
Pertemuan empat mata antara kedua-dua menteri luar itu berlangsung kira-kira sejam pagi semalam, disusuli dengan mesyuarat delegasi.
Pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar di Singapura melibatkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, yang dibantah oleh Malaysia.
Singapura dan Malaysia turut saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa. – Bernama










