NEW YORK 30 Jan. – Seorang ibu berusia 22 tahun maut selepas dia terjatuh semasa menuruni tangga sebuah stesen tren bawah tanah di sini sambil membawa kereta sorong anak perempuannya di premis itu.
BBC yang memetik polis sebagai berkata, mayat wanita yang dikenali sebagai Malaysia Goodson itu ditemukan di platform 7th Avenue Station di 53rd Street, petang kelmarin.

MALAYSIA GOODSON maut selepas terjatuh dari tangga ketika membawa turun kereta sorong anak perempuannya di New York, kelmarin.
Anak perempuannya yang berusia setahun dikenali sebagai Rhylee pula ditemukan tidak sedarkan diri dan diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian.
Kanak-kanak itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kini bersama keluarga ibunya ketika Goodson diumumkan meninggal dunia di Hospital Mt Sinai West.
Insiden tersebut secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai kemudahan yang disediakan di stesen tren bawah tanah, terutamanya untuk kemudahan golongan kurang upaya serta laluan untuk kereta sorong bayi.
Abang Goodson, Dieshe memberitahu, ketika kejadian, kakaknya baru balik dari membeli belah dengan membawa banyak barangan termasuk kereta sorong anaknya.
Sehubungan itu, pihak berkuasa giat melakukan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana wanita berkenaan terjatuh dari tangga.
Setakat ini, hanya 24 peratus daripada 472 buah stesen tren bawah tanah di New York disifatkan sebagai ‘mesra pengguna’, selain tiada perkhidmatan lif di stesen Goodson menemui ajalnya. – AGENSI











