Fatini Yaacob dalam bukunya Natrah @ Nadra @Huberdina Maria Hertogh @Bertha (1937-2009) Cinta, Rusuhan dan Air Mata terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2010 menceritakan semasa membuat penyelidikan kisah Natrah 20 tahun lalu, beliau tidak menumpukan sangat kepada kisah rusuhan di Singapura sebaliknya menanyakan khabar wanita Belanda itu selepas dibawa balik ke Belanda.
Bekas wartawan Dewan Masyarakat itu mengakui semasa diberikan tugasan itu oleh Johan Jaaffar yang mengetuai Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) era itu, pada awalnya kisah Natrah itu dianggapnya cerita lapuk yang tidak mungkin dikenang orang.
“Namun pandangan negatif saya berubah sebaik saja saya membuka lembaran akhbar Utusan Melayu (bertulisan jawi) dan The Straits Times keluaran bulan Disember 1950 di Arkib Negara Malaysia.
“Saya terkejut besar apabila gambar Natrah dan mereka yang berkaitan dengannya termasuk tragedi rusuhan, terpampang pada muka hadapan setiap hari selama sebulan,” cerita Fatini.
Setelah meneliti semula sejarah besar ini, barulah Fatini sedar bahawa kisah cinta Natrah tidak menjadi besar dan tidak akan terungkap sekiranya tidak terjadi rusuhan.
“Rusuhan inilah nilai sebenar kisah Natrah. Rusuhan inilah yang membesarkan kisah Natrah,” tulis Fatini lagi.
Menurutnya, oleh sebab latar sejarah semasa isu Natrah tercetus adalah kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu/Islam di rantau ini, maka dengan mudah isu Natrah berada di landasan semangat anti penjajah rakyat Tanah Melayu sehingga boleh meledak menjadi rusuhan.
“Dalam mencari iktibar dari takdir Allah terhadap bangsa Melayu kini, saya menemui keberanian dan semangat membela agama pada para pejuang seperti Karim Ghani, Dr.Burhanuddin Helmy, Mohd. Taha Kalu, Darus Sherrif, Mohammed Murtaza, Syed Ali Al Attas, M.A. Majid, Profesor Ahmad Ibrahim, Tun Sardon Jubir, Tunku Abdul Rahman dan para pejuang lain yang saya tidak kenal dan tidak terbaca namanya pada zaman itu.
Menurut Fatini lagi di sebalik cerita rusuhan itu yang menumpah darah dan korban nyawa, persoalan kedua yang masih relevan dalam isu Natrah sehingga hari ini ialah isu murtad.
“Di sebalik isu undang-undang dan isu murtad yang mengiringi kes Natrah memberi impak yang luas dan menyentuh hati nurani masyarakat Melayu/Islam dari dahulu sehingga kini, pelaku utama kisah ini, Natrah sendiri melalui hidup yang sukar sama ada secara batin mahupun secara fizikal” (Fatini Yaacob 2010: xxix).










