LIPIS 16 Jan. – Hanya mahu bercakap benar dan berterus terang dalam membela nasib bangsa yang dilihat terus ketinggalan.
Itulah luahan hati Rahana Hassan, 76, warga emas yang tular dalam media sosial berikutan tindakannya membidas M. Manogaran ketika calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands itu sedang berkempen kelmarin.
Ketika ditemui di kedai runcitnya di Felda Koyan 1 di sini, peneroka berkenaan menzahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin yang mengabaikan rakyat dan hanya datang untuk meraih undi semata-mata sedangkan orang Melayu terus ketinggalan tanpa pembelaan sewajarnya.
Katanya, meskipun keluarganya termasuk suami dan abang-abangnya bekerja sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mempertahankan negara tetapi pembelaan sewajarnya tidak diterima mereka.
“Macam tidak berguna sangat kita ini orang Melayu, sekarang ini siapa yang senang, rumah tinggi-tinggi, besar-besar siapa punya, kita orang Melayu duduk hutan ini pun tidak boleh hendak tolong, patut tolong sikit, itu yang mak cik marah sangat tu.
“Macam mana mak cik tidak sedih, hidup Melayu merempat di tanah air sendiri, patut di sini buatlah kedai lawa-lawa, bantulah. Sebelum ini tidak pernah datang (calon) bila hendak mengundi barulah datang,” katanya.
Baru-baru ini tular dalam media sosial tindakan Rahana yang membidas M. Manogaran ketika calon daripada DAP berkenaan melakukan kunjungan ramah mesra di Felda Koyan 1 di sini.
Menurut Rahana, selama ini dia berusaha keras memulakan perniagaan sejak lebih 40 tahun tanpa bantuan yang sewajarnya walaupun keluarganya merupakan antara pejuang negara termasuk Allahyarham suaminya yang merupakan seorang anggota tentera.
Dalam pada itu, Rohana menegaskan, dia tidak takut dan gentar dengan tindakannya itu kerana bukan pengkhianatan kepada negara selain rela dikenakan apa-apa tindakan.
“Kalau mak cik tak berani cakap, esok masa depan anak cucu kita macam mana, mak cik tak takut, kalau kata salah nak ambil, ambillah (tahan),” ujarnya.










