KETIKA Malaysia sedang mengintai peluang melakar sejarah memenangi pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020 elok juga kita sembang tentang suasana sukan di negara kita secara umum.
Adakah kita berada di atas landasan yang betul dan sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar berdaya saing sesuai dengan keinginan kita untuk tampil sebagai negara maju.
Di Malaysia, ada yang menjadi atlet dan berjaya kerana didorong oleh kebolehan semulajadi (gifted), dorongan ibubapa atau kebolehan yang digilap ketika di bangku sekolah.
Malangnya kalau kita jengok aktiviti-aktiviti di peringkat pra-sekolah, anak-anak kita amat kurang didedahkan dengan asas sukan. Mereka sekadar menjalani aktiviti-aktiviti berbentuk kecergasan dan keseronokan semata-mata tanpa arah tujuan.
Di peringkat prasekolah (tadika) misalnya, anak-anak kecil berusia 4 atau 5 tahun yang tidak tahu apa-apa tentang sukan hanya mengikut arahan guru.
Paling sedih, mereka ini masih didedahkan dengan acara-acara seperti lari dalam guni, tiup belon atau lari bawa telur dalam sudu atau ‘sukan-sukan’ yang tidak langsung dapat membentuk minda dan kemenjadian mereka sebagai atlet masa hadapan.
Agaknya sampai bila kita harus terus begini. Alangkah baiknya kalau dalam usia itu, mereka didedahkan dengan asas-asas pengetahuan dan permainan sukan seperti bola sepak, badminton atau renang atau acara-acara lebih bermanfaat dan dapat membentuk siasah mereka untuk bergelar atlet pada satu hari nanti.
Dan satu lagi yang mengejutkan apabila setiap kali kita meraikan Hari Sukan Negara (Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun), pengisiannya sama sahaja.
Ibu bapa diajak ‘berzumba’ atau senamrobik yang tidak ubah semacam pesta joget dengan setiap gerakan diiringi pula oleh lagu-lagu rancak.
Di sekolah-sekolah pula, didapati jumlah kehadiran murid pada minggu-minggu terakhir sebelum cuti akhir tahun agak merosot.
Alangkah bermanfaat jika masa yang terluang itu diisi dengan sesi bersukan agar murid-murid tidak berasa ‘kosong’ tanpa sebarang aktiviti berfaedah sehingga ada yang ‘malas’ ke sekolah atau lebih senang mengikut ibu bapa bercuti atau melancong ke luar negara.
Bagi kanak-kanak pra-sekolah mereka mungkin sudah boleh didedahkan dengan aktiviti yang bersifat sukan seperti bola sepak, badminton dan beberapa acara lain yang bersesuaian (berskala kecil). Mungkin boleh ubah saiz padang, bola yang digunakan dan guru yang memiliki sedikit asas tentang sukan.
Pengisian aktiviti Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun juga perlu diubah. Bagi kalangan ibu bapa termasuk warga emas memadailah dengan penganjuran acara jalan kaki atau ‘jalan-jalan’ di taman rekreasi dan bukannya berzumba yang lebih sesuai jika kita menyambut ‘Hari Kecergasan’ atau Hari Kebangsaan.
Mulakan asas yang betul dan bijak. Berubahlah dari bawah agar negara kita terus maju dalam bidang sukan. Semoga sembang pertama minggu ini membawa manfaat.










