KUALA LUMPUR 7 Jan. – Malaysia Airlines Berhad (MAB) menawarkan diskaun penerbangan sehingga 30 peratus ke destinasi terpilih menerusi Tawaran Tahun Baharu Malaysia Airlines bermula hari ini sehingga 13 Januari.
Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan MAB, Ignatius Ong berkata, tetamu boleh memulakan perjalanan ke destinasi pilihan atau meneroka tempat-tempat baharu dengan tambang sehala termasuk semua kelas ekonomi bermula RM169 dan RM279, masing-masing ke Langkawi dan Kota Kinabalu.
Katanya, tetamu juga akan menikmati tambang ke Singapura serendah RM189, Jakarta (RM229), Hong Kong (RM459), Beijing (RM899) dan Tokyo (RM1,329).
“Harga tambang ke destinasi lain seperti dari Kuala Lumpur ke Sydney bermula RM1,169, Adelaide (RM1,299) dan London (RM1,789).
“Tawaran istimewa ini untuk perjalanan sehingga 30 Jun depan. Tempahan boleh dibuat melalui laman web www.malaysiaairlines.com,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ong, para pelanggan juga boleh menikmati diskaun tambahan sebanyak 20 peratus bagi perkhidmatan tambahan premium termasuk pemilihan tempat duduk, bagasi tambahan dan akses Golden Lounge di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, pembelian kombo pemilihan tempat duduk standard dan tambahan 10 kilogram (kg) bagasi atau akses Golden Lounge dan tempat duduk dengan ruang kelegaan tambahan turut disediakan.
“Tambang bagi kelas perniagaan termasuk elaun daftar masuk bagasi 40kg ke semua destinasi dan 30kg untuk kelas ekonomi bagi destinasi antarabangsa serta 20kg untuk destinasi domestik, makanan dan hiburan dalam penerbangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










