LRT di P.Pinang beri impak kewangan negatif - Utusan Malaysia

LRT di P.Pinang beri impak kewangan negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 3 Jan. – Cadangan pembinaan transit aliran ringan (LRT) yang menghubungkan Georgetown ke Bayan Lepas di sini bakal memberi impak kewangan negatif kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan penduduk negeri ini.

Aktivis sosial yang juga ahli Penang Forum, Dr. Lim Mah Hui berkata, ini kerana sasaran pengguna perkhidmatan itu yang dibuat perunding projek bagi membolehkan operasinya mencatat keuntungan adalah tidak realistik.


Menjelaskan lebih lanjut, beliau yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, berdasarkan jangkaan oleh perunding projek itu, kos operasi LRT tersebut bakal mencecah RM170 juta setahun.


Tambahnya, bagi mencapai pulangan modal, sekurang-kurangnya 115,000 orang perlu menggunakan perkhidmatan itu sehari dengan kadar tambang RM4 bagi semua rangkaian.


Sedangkan, ujarnya, sasaran jumlah pengguna harian itu adalah mustahil untuk dicapai sekali pun mengambil kira kehadiran pelancong ke negeri ini.


“Sekiranya jumlah pengguna sebenar adalah 20 peratus daripada jangkaan pengguna, maka kerajaan negeri akan dibebani dengan defisit sebanyak RM 130 juta berbanding dengan bajet negeri sebanyak RM700 juta pada 2017,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Menurut Mah Hui, kebimbangan mengenai jangkaan jumlah pengguna yang disifatkan tidak masuk akal itu sudah disuarakan banyak pihak termasuk pakar pengangkutan namun seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan negeri.


Tambahnya, kerajaan negeri perlu melihat semula kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung projek MRT yang menyifatkan projek itu terlalu awal disebabkan jumlah penggunaan maksimumnya hanya akan dapat dicapai dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang.


Tambahnya, situasi sama juga sepatutnya terpakai dalam rancangan projek LRT di negeri ini apatah lagi pembinaannya juga membabitkan cadangan tambakan laut yang dianggarkan berjumlah RM8 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN