Lima tan sampah dikutip di Pantai Kemasik - Utusan Malaysia

Lima tan sampah dikutip di Pantai Kemasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 15 Jan. –  Seramai 120 orang wakil dari pelbagai agensi tidak melepaskan peluang
menyertai program gotong-royong membersih kawasan Pantai Kemasik dekat sini semalam dan sebanyak 5 tan sampah sarap berjaya dikutip.

Mereka terdiri daripada kakitangan serta kontraktor Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Pejabat 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung 
(MPKK) Gong Chengal.

Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim berkata, aktiviti gotong-royong itu diadakan antara lain 
menjadikan kawasan persekitaran pantai berkenaan sentiasa bersih dan indah dalam usaha 
menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

“Rakyat perlu sedar aspek kebersihan sangat penting kerana Pantai Kemasik ini kawasan 
pelancongan. Jika pantai kita kotor, pelancong tak akan lawat tempat kita dan tentunya  
merugikan para peniaga di kawasan itu.
 
” Banyak kemudahan yang kerajaan bangunkan di Pantai Kemasik untuk beri kemudahan kepada 
orang ramai khususnya pelancong yang datang dari jauh. Kemudahan itu antaranya surau, 
wakaf, taman permainan, tong sampah, kios dan tandas awam,” ujarnya kepada Utusan Malaysia 
di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan para pengunjung supaya sama-sama memikul tanggungjawab 
bagi memastikan pantai peranginan sentiasa bersih dan tidak dicemari sampah-sarap. 

“Kebersihan adalah aspek terpenting dalam kehidupan dan begitu juga kemajuan sesebuah 
negara dan masyarakat adalah bergantung kepada sejauh mana prihatinnya masyarakat terhadap kebersihan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN