KEMAMAN – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) kesal dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak peka dengan kebersihan sehingga mencemarkan pantai-pantai peranginan di sekitar daerah tersebut termasuk Pantai Kemasik dekat sini.
Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim berkata, pihaknya banyak menerima aduan kebanyakan pantai peranginan di daerah berkenaan dipenuhi dengan sampah sarap sehingga mencemarkan pemandangan dan keselesaan pengunjung.
Beliau berkata, kebanyakan kekotoran yang berlaku di pantai-pantai peranginan tersebut sebenarnya disumbangkan segelintir pengunjung sendiri.
“Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong membersihkan Pantai Kemasik dekat sini hari ini (semalam) berjaya mengumpulkan kira-kira lima tan sampah.
“Selain kayu-kayan yang dipercayai dibawa arus laut, sampah-sarap lain termasuk plastik dan botol plastik ditemui banyak bertaburan di persisir pantai,” katanya kepada Kosmo! selepas menghadiri aktiviti gotong-royong di Pantai Kemasik dekat sini hari ini.
Seramai 120 sukarelawan termasuk kakitangan MPK, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Gong Cengal terlibat dalam aktiviti gotong-royong terbabit. – K! ONLINE










