Lima ditahan Neon Countdown 2019 di Port Dickson - Utusan Malaysia

Lima ditahan Neon Countdown 2019 di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Lima individu ditahan polis selepas dipercayai memiliki dan mengambil dadah semasa sambutan tahun baharu, Neon Countdown 2019 di sebuah resort di Lukut di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki itu bukan penduduk daerah ini sebaliknya datang untuk meraikan tahun baharu. 

“Suspek ditahan sebelum program iaitu pada pukul 7 malam selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan. 

“Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya selepas membuat tinjauan program itu di sini malam tadi. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malek dan Penyelaras Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Program itu mendapat bantahan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana didakwa bertentangan dengan budaya tempatan dan dibimbangi menyebabkan masalah moral. 

Sementara itu, Aidi Sham berkata, pihak penganjur dalam permohonannya mendakwa program itu bermotifkan kesenian dengan tiga acara utamanya iaitu persembahan bunga api, nyanyian dan kebudayaan.

“Saya amat kesal dengan tindakan pihak penganjur yang tidak memaklumkan kepada pihak polis tentang perancangan sebenar mereka.

“Jelas sekali apa yang mereka mohon dulu bertentangan dengan aktiviti yang dianjurkan pada malam tadi,” katanya. 

Beliau berkata, kira-kira 10,000 orang menghadiri program tahun baharu itu dan seramai 70 anggota polis ditempatkan bagi memantau aktiviti tidak sihat termasuk pengambilan dadah dan arak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN