Lembaga getah rugi RM800 juta dalam transaksi jualan tanah - Utusan Malaysia

Lembaga getah rugi RM800 juta dalam transaksi jualan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Industri Utama mendedahkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengalami kerugian sebanyak RM800 juta menerusi transaksi penjualan tanah seluas 1,133 hektar di Sungai Buloh, Selangor oleh kerajaan terdahulu.

Menterinya, Teresa Kok berkata, tanah LGM dikenali sebagai Lot 481 itu dijual kepada Aset Tanah Negara Berhad (ATNB) pada Oktober 2010 menerusi jualan langsung dengan bayaran sebanyak RM1.5 bilion.

Menurutnya, bagaimanapun, tanah itu kemudiannya dibeli oleh Kwasa Land Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada harga RM2.28 bilion dengan perbezaan harga RM800 juta daripada apa yang dibayar kepada LGM.

“LGM berpendapat pihaknya mempunyai hak secara sah ke atas jumlah RM800 juta. 

“Transaksi meragukan ini telah dilaporkan kepada Jabatan Audit Negara untuk audit menyeluruh dan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, dengan hasil jualan RM1.5 bilion itu, kabinet terdahulu turut memberi kelulusan kepada lembaga pengarah LGM bagi membangunkan baki tanah seluas 236 hektar untuk membina lima kemudahan merangkumi makmal baharu, menara pejabat, muzium, kemudahan sukan serta kluster perniagaan.

Beliau mendakwa, mengikut rekod, Project Delivery Partner (PDP) turut dilantik dan bukannya perunding pengurusan projek seperti yang telah diputuskan lembaga pengarah ketika itu.

“Pada Februari tahun lalu, lembaga pengarah baharu LGM secara rasmi menamatkan PDP itu dan turut menemui beberapa transaksi meragukan dalam pelaksanaan lima fasiliti berkenaan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN