Lelaki Thailand maut terkena tembakan rakan ketika buru babi hutan - Utusan Malaysia

Lelaki Thailand maut terkena tembakan rakan ketika buru babi hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG – Seorang lelaki Thailand maut akibat terkena tembakan rakannya ketika memburu babi hutan di kawasan hutan berhampiran ladang getah di Kampung Poh Mu dekat sempadan Malaysia-Thailand di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada polis Thailand sebelum menggerakkan operasi mencari mangsa, Mongkonchai, 39, pada pukul 9 pagi ini.

“Mayat mangsa berjaya ditemui pada pukul 2.30 petang ini di lereng bukit kawasan ladang getah Kampung Poh Mu dalam keadaan tertiarap.

“Kesan tembakan dikesan pada bahagian kanan dada mangsa dipercayai akibat terkena peluru jenis penabur yang sering digunakan pemburu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, operasi mencari mangsa dilakukan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) selain turut dibantu anggota tentera Kem Seraya serta polis Thailand. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya meminta bantuan polis Thailand untuk menyerahkan suspek yang dikenal pasti sebagai seorang lelaki Thailand berusia 49 tahun kepada IPD Padang Terap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN