Lelaki terjun sungai ditemukan mati lemas - Utusan Malaysia

Lelaki terjun sungai ditemukan mati lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 14 Jan. – Mayat mangsa lemas yang hilang di sungai Marang berdekatan Kampung Bukit Gasing di sini petang semalam berjaya ditemukan pukul 3 petang ini selepas hampir 24 jam operasi mencari mangsa dijalankan oleh pasukan penyelamat.

Mayat Abu Bakar Sidek, 28, ditemukan di dasar sungai dan tersangkut di celah batu kira-kira 20 meter daripada lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Suhaimi Ali memberitahu, pada mulanya mayat itu sukar dikesan kerana keadaan air ketika itu agak keruh.

Bagaimanapun katanya, salah seorang anggota penyelamat menemukan mayat mangsa sebaik sahaja tersentuh pada kakinya sewaktu operasi mencari dijalankan.

“Mayat itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut”, katanya ketika ditemui di tempat kejadian petang ini.

Menurut Mohd. Suhaimi, mangsa dilaporkan lemas kira-kira pukul 4.20 petang semalam selepas bertindak melarikan diri ke dalam sungai gara-gara terkejut setelah terserempak dengan anggota polis yang mengadakan operasi di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, ketika kejadian paras air tidak begitu dalam, namun disebabkan keadaan dasar sungai berlumpur menyebabkan mangsa terperangkap sebelum tenggelam ke dasar sungai.

“Berikutan itu, pasukan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) segera menjalankan operasi menyelamat sehinggalah mayat mangsa ditemukan petang ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN