KLANG – Seorang lelaki maut digilis sebuah lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya dalam kejadian di lampu isyarat Batu 7, Jalan Kapar di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, S. Rejendran, 52, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 Dream dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kapar Ria menghala ke tempat kerjanya di Klang.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang berada di laluan kiri telah bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa kemudiannya terjatuh di atas jalan raya sebelum kepalanya digilis oleh kenderaan berat itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurulhuda berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.
“Kita juga telah merakam keterangan daripada pemandu lori berusia 59 tahun itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar,”ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE










