TELUK INTAN 6 Jan. – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Bidor ketika melakukan kerja-kerja pemasangan paip di Ladang Sussec dekat Langkap di sini kelmarin, ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat Lim Kim Siang, 30, dijumpai pada pukul 9.55 pagi oleh sekumpulan nelayan, kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat terjatuh.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, operasi mencari mangsa yang disambung pada pukul 8 pagi hari ini dimulakan dari Kampung Kloster ke lokasi lelaki itu dikatakan terjatuh.
Katanya, operasi tersebut menggunakan dua buah bot aluminium Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan dengan dibantu unit anjing pengesan (K9) bomba.
“Pasukan penyelamat melakukan pencarian dengan menggunakan peralatan khas ‘grapping iron’ dan mangsa berjaya dijumpai oleh nelayan kampung tersebut pada jarak dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11 pagi,” katanya.-UTUSAN ONLINE










